Di hospital itu , ada juga wajah-wajah sihat yang nampak takut-takut ,wajah yang penuh semangat mahu mencuba , dan wajah yang begitu prihatin . Saya kenal wajah-wajah itu . Itu adalah wajah-wajah doktor pelatih yang sering lalu-lalang di hadapan saya.
Terkadang mereka berhenti bertanya khabar . Kemudiannya , mereka melihat catatan yang terletak di hujung katil , mencatat sesuatu ,memeriksa nadi dan jantung saya. Pada ketika tertentu , mereka menyuruh saya mengangga.
Atas hormat yang tinggi kepada mereka yang bergelar doktor , saya taat dan tidak pernah membantah walaupun jelas mereka itu jauh lebih muda daripada saya . Daripada ramai antara doktor,ada seorang doktor muda perempuan yang berwajah menyenangkan , yang tanpa dia sedar membuatkan saya sedar berkenaan sesuatu . Sesuatu yang saya tidak akan lupa sampai mati .
Dan hari itu ,saya ingat lagi ,pagi Jumaat yang penuh rahmat . Dia seperti doktor seniornya , akan berhenti dahulu di hadapan katil saya. Bukan mahu memeriksa saya , tetapi mereka berbisik-bisik berkenaan pesakit leukemia di sebelah saya. Berbicara apa yang perlu , dan apa yang tidak perlu .Saya pula hanya pura-pura baring dengan telinga yang segar.
"Mengapa semua orang bercerita berkenaan ubat dengan pak cik itu ?" soal doktor perempuan itu .Nadanya terdengar prihatin , dan sedikit tidak berpuas hati .
Rakannya segera menyambut ,"Kita mahu memberinya harapan bagi terus hidup".
"Tetapi , bukankah kita semua sedar yang dia sudah kritikal ? Harapan yang bagaimana lagi mahu kita beri?"Doktor pelatih perempuan itu semakin tegas nadanya .
"Jadi,awak mahu buat bagaimana lagi?"
"Pakcik itu sudah mahu menemui Penciptanya , jadi dia sudah tidak perlukan ubatan fizikal lagi.Apa yang dia perlukan adalah ubatan rohaninya.Mengapa tidak ada doktor-doktor di sini yang datang 'mengubatkan'rohaninya?" jelas dia.
"Mengapa tidak awak sahaja?" cabar rakannya pula dengan senyuman sinis
Doktor pelatih perempuan itu tersenyum baik . Bukan senyuman yang mahu mengatakan 'aku sahut cabaran kamu',tetapi senyumannya mengatakan 'aku memang mahu membantunya'.
Dia dengan wajah yang jelas mahu membantu melangkah yakin ke arah pesakit leukemia itu. Saya pula terpaksa pura-pura bangun dan berjalan ke arah tingkap ,semata-mata mahu melihat apa yang doktor pelatih itu lakukan .Saya teruja bercampur perasaan yang aneh.
Doktor pelatih itu memulakannya dengan senyuman yang tidak dibuat-buat . Dia bertanya khabar ,bertanya segala perkara yang mengembirakan hati dan selepas mukadimah itu barulah dia terus kepada maksud hatinya .
"Pak cik ini begitu bertuah",katanya lembut.
"Bertuah kenapa pula?"Pesakit itu terkejut
"Semua orang akan mati, tetapi berapa banyak yang tahu saat mereka akan pergi?Jadi ,orang yang diberi sakit ini adalah orang yang bertuah kerana diberikan isyarat oleh Allah supaya bersedia . Andaninya orang seperti saya ,yang masih sihat ,saya pasti tidak bersedia.Mana tahu keluar sahaja dari hospital ini , saya kemalangan . Sedangkan saya langsung tidak bersedia untuk itu", jelas doktor pelatih itu dengan sangat sopan .
Namun , pesakit leukemia itu mengerutkan dahi . Wajahnya tidak mampu saya tafsirkan perasaan apa yang cuba diberitahunya .
"Jadi ,awak mahu kata saya akan mati?"
Doktor pelatih itu tersenyum sebentar sebelum berkata , "Bukan itu maksud saya , saya cuma teringat kepada kata-kata guru saya , semasa kita sakit kita semua sudah bersedia dengan apa yang mahu kita buat apabila kita sudah sembuh dan kembali sihat . Tetapi, adakah kita sudah bersedia dengan apa yang mahu kita buat sekiranya kita sudah mati?"Jadi ,saya suka bertanya kepada diri saya sendiri ,adakah saya sudah bersedia ?Kerana sihat itu cumalah rezeki ,tetapi mati itu pula adalah pasti."
Mendengarkan kata-kata doktor pelatih itu,wajah pesakit leukemia itu menjadi teduh . Dia diam dan dengan penuh baik dia tersenyum kembali kepada doktor pelatih itu lalu berkata ,"Terima kasih atas ingatan itu ,doktor ."
Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan pesakit leukemia itu kerana pada hari itu saya dibenarkan keluar. Namun , Allah mahu menunjukkan sesuatu kepada saya . Hari Isninnya saya dimasukkan kembali ke dalam wad yang sama dan katil yang sama ,tetapi sudah tidak ada yang sama pada katil sebelah saya.Ia sudah kosong , pesakit leukemia itu entah ke mana .
Dan akhirnya saya tahu kisahnya daripada doktor pelatih perempuan itu juga .Katanya"saya bersyukur kerana masih sempat memberitahu apa yang patut saya beritahu dia ,kerana pada hari Sabtu dan Ahad saya bercuti . Pesakit itu meninggal dunia pada hari Ahadnya ."
Tersentak jugak hati saya mendengarkan perkara itu. Kata-kata doktor pelatih perempuan pada hari Jumaat yang lalu terus saya kenang sampai hari ini dan semoga saya terus ingat sampai saya mati .Benarlah ,Allah memang mahu menunjukkan sesuatu kepada saya.
Insyaallah esok pengkongsian hadis/cerita maulid dari ceramah dan lain2 lagi
No comments:
Post a Comment