Tuesday, 19 January 2016

Sejarah Kaedah Mokhdar

Pada tahun 1990, saya telah meminta anak-anak saya pada ketika itu iaitu Nur Amin, Nurul Hidayah dan Nur Ariff untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pemikiran Matematik. Selama satu tahun saya mencuba dan melatih mereka tetapi gagal.

Melihatkan kegagalan tersebut, akhirnya saya telah menyuruh anak-anak untuk menghafal sifir di dalam Bahasa Melayu yang telah dipendekkan sebutannya. Pada masa itu sebutan 1 hingga 19 diambil sebutan hujung. Misalnya nombor 1 disebut tu, 4 disebut pat, 6 disebut nam, 11 disebut las, 13 disebut ga las, 17 disebut juh las dan seterusnya. Bagi nombor-nombor yang lebih atas, misalnya nombor 25 disebut wa luh ma, 80 disebut pan luh juh, 586 disebut ma tus pan luh nam dan sebagainya.

Nur Amin, Nurul Hidayah dan Nur Ariff yang sebelum itu mengalami kesulitan untuk menghafal darab di dalam Bahasa Inggeris apatah lagi untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pemikiran Matematik mereka tiba-tiba menunjukkan perubahan yang begitu ketara. Mereka seronok menggunakan sebutan baru tersebut dan berjaya menghafal sifir asas pada malam itu juga – malam di mana mereka mulai belajar menggunakan sebutan Bahasa Melayu yang dipendekkan.

Jika sebelumnya mereka mudah mengantuk dan tertidur ketika disuruh untuk menghafal dan tidak pernah berjaya walaupun telah berhari-hari sehinggakan terpaksa diawasi dengan rotan oleh saya yang akhirnya saya pun turut tertidur ketika mereka sedang menghafal - malam itu sangat berbeza dari sebelumnya. Mereka tidak mengantuk dan tertidur sebaliknya terus menghafal, sambil sesekali bergaduh sesama mereka, sehinggalah ke jam 12:30 pagi. 

Apa yang saya perhatikan, mereka hanya ketawa sepanjang masa sehingga menimbulkan kecurigaan kepada saya.

"Apa yang ayah suruh kamu lakukan?”
"Ayah suruh kami hafal darab.”
"Habis apa yang kamu buat?”
"Kami hafal darablah.”
"Apa yang ayah dengar, kamu ketawa sahaja sepanjang masa?”
"Kami hafal darablah ayah,” sambil ketawa.
"Orang, kalau hafal darab, serius, bukannya ketawa,” saya merungut.
"Kami bukan nak ketawa, ayah. Kami cuma nak terketawa,” kata mereka sambil tidak dapat menahan ketawa. 

Saya pun turut tidak dapat menahan ketawa saya. 

"Hah, tengok, ayah pun ketawa sama.”

Jam 12:30 pagi mereka mengetuk pintu bilik saya. Ketika itu saya sedang menyiapkan alasan penghakiman yang perlu disampaikan siang nanti.

"Ayah, kami nak hafal darab 12 hingga 19,” kata mereka sebaik sahaja saya membuka pintu. 

Saya sedikit terkejut kerana saya cuma meminta mereka untuk menghafal sifir 2 hingga 9 dan menyuruh mereka masuk tidur kerana hari telah lewat malam. Namun demikian mereka masih berkeras meminta saya untuk menuliskan pada mereka sifir 12 hingga 19 seperti yang saya lakukan untuk mereka sifir 2 hingga 9.

Lalu saya menyoal mereka adakah mereka telah menghafal sifir 2 hingga 9.

"Kami dah hafal sifir 2 ke 9,” kata mereka.
"Jangan bohong. Yang ayah dengar tadi, kamu bermain dan ketawa memanjang. Bila masa kamu hafal darab?”
"Yang ayah nampak kami bermain dan tergelak tu, kami tengah hafal darablah.”
Saya mula menyoal mereka soalan sifir.

"Enam darab enam?”
"Na na ga nam!”
"Ga nam tu apa?”
"Tiga puluh enam!”
"Enam darab tujuh?”
"Nam juh pa wa!”
"Pa wa tu apa?”
"Empat puluh dua!"
"Tujuh darab sembilan?”
"Juh lan nam ga!”
‘Nam ga tu apa?”
"Enam puluh tiga!”
"Lima darab tiga.”
"Ma ga ma las!”
"Ma las tu apa?”
"Mak juga pemalas!” Kata Ariff yang ketika itu berusia lima tahun.

Mereka ketawa serentak. Rupa-rupanya itu yang menyebabkan mereka sering ketawa sejak tadi. Bunyi nombor-nombor tertentu menghasilkan ungkapan-ungkapan tertentu dan kadang-kadang menyerupai atau seolah-olah bunyi sebutan di dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Kemudiannya saya memudahkan lagi sebutan ‘juh’ jadi ‘ja’, ‘nam’ jadi ‘na’, ‘pat’ jadi ‘pa’, ‘pan’ bila dipendekkan menjadi ‘pa’ namun demikian sebutan ‘pa’ telah diberi kepada nombor 4, lalu saya mengambil sebutan ‘ka’ sebagai sebutan alternatif (kini sebutan ‘ka’ lebih mudah bagi saya menyebutnya, sama ada dalam minda atau di bibir), dan menjadikan sebutan ungkapan itu semakin menyerlah ceritanya maka semakin sukalah mereka melakukan aktiviti menghafal darab tersebut.

4 × 4 = 16 jadi ‘pa pa tu na’ seolah-olah berbunyi "bapa ikan tuna”, 7 × 9 = 63 jadi ‘ja lan na ga’, 7 × 8 = 56 jadi ‘ja ka ma na’ seolah-olah berbunyi "jejaka mana”.

Rupa-rupanya sebutan-sebutan ini agak kelakar bagi mereka kerana sebelum itu mereka tidak pernah menjangkakan yang dalam nombor ada cerita, tetapi ia juga menjadi penguat ingatan yang menyebabkan apa yang dihafal kekal lama walaupun hanya baru disebut dua atau tiga kali.

Keesokan harinya ketika menyambung aktiviti menghafal darab 12 ke 19, saya dapati mereka menjadi cepat jemu semula sama seperti ketika mereka menghafal sifir di dalam Bahasa Inggeris dahulu. Sebabnya mudah dilihat, sebutan yang panjang bagi angka belas dan ke atas menyebabkan mereka perlu menggunakan masa yang lebih banyak untuk melakukan aktiviti menghafal dan ini amat meletihkan mereka.

Di sinilah timbulnya idea, jika nombor satu 1 hingga 10 boleh dipendekkan menjadi sebutan satu suku kata sahaja, kenapa tidak dipendekkan nombor 11 hingga 19 menjadi sebutan satu suku kata sahaja?

Saya berbincang dengan anak-anak saya dan akhirnya kami mendapati bahawa mengambil sebutan pangkal bagi nombor belasan merupakan jalan yang terbaik bagi kami. Dari situ kami menukar sebelas jadi ‘se’, dua belas jadi ‘du’, tigabelas jadi ‘ti’, empatbelas jadi ‘em’, limabelas jadi ‘li’, enambelas jadi ‘e’ (disebut ‘e’ sebagaimana sebutan ‘emak’ ataupun ‘e’ sebagaimana sebutan ‘enak’). Sebutan pangkal bagi nombor 17 ialah ‘tu’ sedangkan ‘tu’ telah diberi kepada nombor satu. Oleh itu nombor 17 disebut ‘te’ (disebut ‘te’ seperti dalam sebutan ‘tegak’ atau ‘te’ dalam sebutan ‘tengok’). Nombor 18 disebut ‘la’ dan 19 disebut ‘sem’.

Sebutan-sebutan ini memperkayakan lagi kewujudan cerita atau mnemonic dalam nombor-nombor tersebut. Misalnya 5 13 disebut ‘mati’, 5 17 disebut ‘mate’, 5 17 5 17 boleh disebut ‘mate mate’, 7 18 boleh disebut ‘jala’, 11 15 4 boleh disebut ‘selipa’ dan sebagainya.

Penguasaan darab mereka dari sifir asas ke 19 menarik perhatian wartawan-wartawan yang sering datang ke mahkamah kerana membuat liputan kes. Berita dan rencana tentang mereka begitu juga tentang saya dan Kaedah Mokhdar mulai keluar di akhbar dan majalah. Tambahan pula ketika itu, sebuah buku yang saya tulis, ‘Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi’ telah dipaparkan secara eksklusif dalam akhbar Utusan Malaysia di dalam ruangan Prebiu Buku yang bertarikh 24hb Mei 1993.

Dalam buku tersebut yang asalnya merupakan surat panjang lebar saya kepada YAB Perdana Menteri Malaysia ketika itu, menghujahkan bahawa bangsa Melayu adalah antara bangsa yang terbaik di dunia. Namun demikian disebabkan sebutan yang panjang bagi ungkapan berbentuk Matematik menghasilkan minda yang tewas dalam pemikiran dan pembelajaran Matematik dibandingkan dengan pelajar-pelajar bangsa lain khususnya pelajar Tionghua. Sebutan perkataan yang panjang juga menghasilkan kos yang lebih tinggi bagi hampir kesemua aktiviti seseorang. Misalnya perkataan yang panjang tersebut menyebabkan masa komunikasi yang lebih lama lalu mengakibatkan bil telefon yang lebih tinggi, mesyuarat yang lebih lama, masa yang lebih panjang untuk melayan pelanggan, memberi dan menerima arahan, belajar dan mengajar, membaca, menulis, berlakon, mendendangkan lirik lagu, berpuisi, berkhayal, berehat dan sebagainya.

Tidak lama kemudian, kru rancangan Dimensi dari TV1 RTM hadir selama dua hari di Teluk Intan membuat liputan tentang Kaedah Mokhdar, saya dan anak-anak. Bandar Teluk Intan menjadi meriah dan saya dikatakan sebagai ‘Majistret paling glamour’ yang pernah menjadi Majistret di Teluk Intan.

Dalam suatu mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Hilir Perak bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan Negara, Dr. Chan yang merupakan Pengarah Kesihatan Hilir Perak pada masa tersebut berkata kepada saya, betapa anak beliau yang baru berusia 11 tahun sudah cekap mencongak sifir dua digit didarab dengan satu digit sedangkan anak-anak saya yang baru berusia 9, 8 dan 5 tahun, baru kuasai darab asas ke 19, namun berita tentang kami telah heboh ke seluruh negara.

Saya terasa hati dengan kata-kata beliau dan berazam mahu menjadikan anak-anak saya menguasai sifir asas ke sifir 99 dengan sepantas kilat apabila ditanya. Anak-anak saya menggeleng kepala bila ditugaskan melakukan hafalan darab tersebut.

"Ayah bukan suruh kamu hafal dalam masa satu minggu. Kamu boleh ambil masa satu tahun!”

Ketika itu saya sudah mendapat idea untuk melakukan pembaharuan terhadap Kaedah Mokhdar dengan memendekkan lagi sebutan gabungan nombor-nombor agar lebih pendek dan padat. Menerusi gabungan tersebut, sebutan angka-angka sifar hingga sembilan dijadikan kunci sebutan, misalnya 22 yang berbunyi ‘wa wa’ dipendekkan menjadi ‘waw’, 23 yang berbunyi ‘wa ga’ dipendekkan menjadi ‘wag’, 24 yang berbunyi ‘wa pa’ dipendekkan menjadi ‘wap’ atau ‘wat’ daripada ‘wa pat’ dan begitulah seterusnya. 21 yang disebut ‘wa tu’ dipendekkan menjadi ‘wu’, 31 yang disebut ‘ga tu’ dipendekkan menjadi ‘gu’, 41 yang disebut ‘pa tu’ dipendekkan menjadi ‘pu’, 51 dipendekkan menjadi ‘mu’ daripada ‘ma tu’, 61 dipendekkan menjadi ‘nu’ daripada ‘na tu’, 71 disebut ‘ju’ daripada ‘ja tu’, 81 disebut ‘ku’ daripada ‘ka tu’ dan 91 disebut ‘lu’ yang asalnya ‘lan tu’.

Tiga hari kemudian, Nurul Hidayah yang pada masa itu berada di darjah 2, Sekolah Rendah Convent Teluk Intan, menyambut saya dengan senyuman memanjang.

"Ayah, Ida dah hafal sifir 12 ke 99.”
"Jangan nak bohong ayah. Sifir tu banyak, mustahil boleh dihafal dalam masa tiga hari walaupun guna Mokhdar.”
"Ayah tak percaya, ayah tanyalah.”
"Ida, kalau betul kamu telah hafal sifir asas ke 99, ayah sanggup beri kamu sekarang RM60.”
"Betul ayah?”
"Betul. Tapi kalau kamu tipu ayah, akan akan rotan kamu 60 kali, boleh?”
Dia terdiam sebentar – berfikir.

"Macam mana boleh?”
"Boleh!” Tiba-tiba dia berkata dengan penuh yakin.

Saya mengambil kalkulator dan bertanya soalan dua digit didarab dengan satu digit. Untuk tiga soalan pertama, dia menjawab pantas dan tepat. Saya masih menyangka itu suatu kebetulan, tetapi setelah ditanya soalan yang ke 30 dan dia masih dapat menjawab dengan pantas dan tepat, saya mengalah. Walaupun saya terpaksa menunaikan janji dengan memberinya RM60 dan diketawakan isteri, saya amat gembira!

"Bagaimana kamu dapat hafal begitu banyak? Tak letih ke?”

Nurul Hidayah hanya ketawa.

"Ida bukan hafal.”
"Habis kamu buat macam mana?”
"Ida kira.”
"Kamu kira macam mana? Siapa ajar kamu?”
"Cikgu Ida ajar di sekolah tadi.”
"Tolong ajar ayah.”

Nurul Hidayah mengambil pen dan menerangkan tentang kaedah mengira digunakannya yang menyebabkan dia dapat mengira sebegitu pantas.

Saya tidak dapat memahami sama sekali apa yang diterangkan oleh Nurul Hidayah walaupun dia telah menerangkannya berulang-ulang kali. Bukannya kerana apa yang diterangkan itu sukar difahami tetapi kaedah mengira yang diterangkan itu adalah sama dengan kaedah mengira yang telah diajar oleh guru-guru Matematik saya sejak di tahun 2 atau 3 dahulu.

Yang saya tidak faham dan menjadi hairan ialah bagaimana Nurul Hidayah dapat mengira dengan sebegitu pantas.

"Yang itu kamu tidak perlulah terangkan kepada ayah kerana ayah memang dah faham sebab ayah dah belajar mengira sebegitu sejak dari kecil. Yang ayah nak tahu dari kamu ialah bagaimana kamu dapat mengira dengan cepat sehinggakan jawapan terus diberikan sebaik sahaja ditanya?” Kata saya hilang sabar.

"Ida rasa ayah tak boleh kira cepat sebab ayah tak cekap darab dalam sebutan pendek. Ayah suruh kami hafal sifir dalam sebutan pendek tapi ayah sendiri tak hafal. Sebab itu ayah tak boleh kira cepat, sebutan nombor ayah panjang-panjang,” balas Ida.

Saya tersentak. Tak sangka anak kecil saya mampu menyediakan jawapan setajam itu sedangkan semua hujah yang disebutnya adalah apa yang dicipta oleh saya.

Dua minggu kemudian, setelah saya benar-benar hafal darab 2 ke 19 dalam sebutan Mokhdar, baru saya dapat merasai kebenaran kata-kata Nurul Hidayah yang sebenarnya adalah merupakan kata-kata saya sendiri. Setelah saya benar-benar menghayati sebutan darab dalam Mokhdar dan melihat nilai angka dalam sebutan tersebut tanpa perlu menterjemahkannya ke dalam sebutan Bahasa Melayu terlebih dahulu, saya dapati saya juga mampu mengira cepat seperti Nurul Hidayah walaupun saya mengambil masa yang jauh lebih lama daripadanya.

Saya tidak sabar-sabar mahu mengajak Nurul Hidayah berlawan mengira cepat dengan saya. Bagaimanapun Nurul Hidayah tampak seperti tidak ghairah dengan kemahiran saya.

"Cuba Ida tanya ayah, biar ayah jawab dan lihat siapa lebih cepat.”
"67 × 48?” Tanya Hidayah.
"Ayah suruh kamu tanya dua digit darab satu digit, yang Ida tanya ayah, dua digit darab dua digit!”
"Ida boleh jawab!”

Saya mengambil kalkulator dan bertanya kepada Nurul Hidayah lebih kurang 20 soalan. Yakinlah saya sememangnya dia mampu mengira pantas bagi dua digit darab dua digit. Dua tahun kemudian barulah saya mampu mengira seperti dia, itu pun selalu tersasar dan tidak boleh menandingi kecepatan dan ketepatan jawapan yang diberi oleh Nurul Hidayah.

Lalu saya membuat kesimpulan bahawa hal ini berlaku kerana otak Nurul Hidayah adalah otak muda, ibarat komputer baru yang bersih dan belum dimasukkan dengan apa-apa perisian (software). Bila Mokhdar dipasangkan (install) sebagai bahasa mindanya, tidak ada masalah gangguan daripada perisian-perisian lain yang bertindak umpama virus. Malah pengalaman saya mengajar kelas-kelas yang mengandungi pelajar-pelajar kecil dan pelajar-pelajar dewasa mendapati bahawa perkembangan pelajar kecil adalah jauh lebih laju daripada perkembangan pelajar-pelajar dewasa.

Saya membuat rumusan selanjutnya bahawa di samping faktor virus yang terhasil daripada pertembungan perisian lama dan perisian baru, orang dewasa, dengan segala tugas dan perkara yang perlu dilaksanakannya, telah membuka terlalu banyak program di dalam mindanya. Contoh situasinya ketika seorang dewasa mahu belajar, semasa itulah dia teringat yang sewa rumah belum dibayar, ansuran kereta sudah mencecah tiga bulan, duit untuk emak belum dihantar lagi, minggu depannya pula bos di pejabat mahu dia menyiapkan tugasan yang telah diberikan sejak seminggu yang lalu dan peristiwa dimarah oleh Dato’ Hakim Mahkamah Tinggi masih lagi bermain-main di dalam mindanya. Jika dia adalah sebuah komputer, akan keluarlah amaran berikut di bahagian bawah skrin itu,

"You are opening too many programmes. Please shut down some of your programmes because they are slowing down your komputer!”

Definisi Kaedah Mokhdar

Kaedah Mokhdar adalah kaedah memendekkan dan memudahkan sebutan nombor dalam Bahasa Melayu. Nombor-nombor satu hingga seratus dipermudahkan dengan cara dipendekkan menjadi sebutan satu suku kata bagi setiap nombor tersebut. Nombor-nombor tiga digit atau lebih dipermudahkan dengan dipendekkan menjadi sependek mungkin berdasarkan kepada asas sebutan nombor satu hingga seratus tersebut. Terdapat juga nombor-nombor tiga digit atau lebih boleh disebut dengan menggunakan satu suku kata sahaja.


Sifat Utama Kaedah Mokhdar 

Kaedah Mokhdar adalah satu kaedah yang didasarkan kepada sebutan dan bukan kepada huruf. Keberkesanan penggunaannya dalam menangani segala subjek tentang angka dan Matematik diperoleh setelah minda seseorang itu benar-benar sebati dengan sebutan pendek tersebut. Dalam erti kata lain, di dalam mindanya, dia menggantikan sebutan asal dengan sebutan Mokhdar sebagai bahasa mindanya setiap kali dia melihat atau memproses angka.

Setiap nombor diwakili oleh sebutan khusus bagi nombor itu, misalnya ‘la’ adalah nombor 18, ‘la ma’ adalah 18 5 tetapi ‘lam’ adalah 95. ‘la am’ adalah 18 5, ‘lam am’ adalah 95 5 dan ‘la mam’ adalah 18 55. Kemahiran membezakan nombor-nombor menerusi sebutan khusus ini boleh diperolehi sama ada menerusi latih tubi atau penggunaan Kaedah Mokhdar yang berterusan di dalam minda.


Kesan Umum Penggunaan Kaedah Mokhdar

Apabila seseorang itu cekap dengan Kaedah Mokhdar dan menjadikannya sebagai amalan di dalam minda atau bahasa mindanya bagi setiap detik kehidupannya, dia bakal memperoleh kekuatan dan ketajaman minda serta memori terhadap angka dan figur numerik. Kesan tersebut berlaku atas dua sebab;

Sebab Pertama:

a. Jumlah suku kata yang pendek memudahkan sebutan.
b. Menjimatkan penggunaan masa.
c. Menjadikan penggunaan masa amat berkesan.

Sebab Kedua:

a. Sebutan yang menyamai sebutan di dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

b. Sebutan yang mudah diingat dan disimpan di dalam memori.

Misalnya bila 55 disebut ‘mama’ atau ‘mam’, sebutan tersebut mudah diingat dan disebut kerana seolah-olah menyamai sebutan yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian bagi nama panggilan seorang ibu.




Perbezaan Di Antara Kaedah Mokhdar & Kaedah-Kaedah Lain


Ramai menyangka Kaedah Mokhdar adalah satu daripada kaedah-kaedah yang berkonsepkan mental arithmetic seperti kaedah-kaedah SRC, Sempoa, Aloha dan sebagainya. Sebenarnya, sungguhpun terdapat beberapa ciri yang bersamaan, misalnya dengan menggunakan Kaedah Mokhdar seseorang itu mampu mencongak pantas bagi sifir 12 ke 99 didarab dengan nombor satu atau dua digit tetapi Kaedah Mokhdar bukanlah dihasilkan dengan tujuan menjadikan otak manusia mampu menggantikan kalkulator kerana alat mesin mengira tersebut memiliki peranannya yang tersendiri. Kalkulator juga boleh diperolehi dengan mudah dan dengan harga yang amat murah sedangkan penggunaan otak manusia pula melibatkan psycho-motor, bererti ia melibatkan rasa letih, lesu dan sebagainya yang tidak dialami oleh kalkulator.

Penegasan ini dibuat kerana terdapat keghairahan di kalangan ibu bapa yang mahu menjadikan anak-anak mereka mampu mengira sepantas kalkulator bagi angka-angka yang lebih besar. Mereka sanggup menghabiskan ratusan malah ribuan ringgit dan membenarkan otak anak-anak mereka di’belasah’ dengan disuruh menghafal sifir-sifir yang besar bagi mencongak sifir-sifir yang lebih besar untuk jangka waktu yang lama sehingga bertahun-tahun. Adalah lebih baik jika wang tersebut dan masa yang dihabiskan digunakan untuk membeli sekian banyak buku-buku latihan Matematik yang sesuai bagi disudahkan oleh anak-anak mereka. Begitu jugalah masa yang dihabiskan oleh anak-anak mereka, adalah lebih baik digunakan bagi mendapatkan bimbingan terbaik untuk pembelajaran Matematik mereka.

Dalam Kaedah Mokhdar, sifir yang diwajibkan untuk dikuasai hanyalah sifir 2 ke 9, itupun menerusi fakta-fakta darab asas yang disusun dalam bentuk triangular atau tiga segi bagi menjimatkan masa. Sifir 12 ke 19 tidak diwajibkan tetapi digalakkan untuk dikuasai walaupun boleh dicongak kerana mampu menjimatkan masa dalam pembelajaran dan penyelesaian masalah Matematik. Bagi sifir dua atau tiga digit didarab dengan satu digit, ia boleh dicongak sepantas kilat tanpa perlu menggunakan cara lain selain daripada apa yang diajar di sekolah dan tanpa menggunakan pen atau sebagainya. Malah orang yang mindanya sebati dengan sebutan Mokhdar boleh melakukan pengiraan congak tanpa mengikuti apa-apa kursus lain selain daripada kelas-kelas yang dikendalikan di sekolah.

Sifir-sifir tersebut, jikapun kelihatan seperti di’hafal’ oleh seseorang itu, sebenarnya tidak dihafal tetapi diingat menerusi ulang-kerja berkali-kali. Ada kalanya seseorang itu, bila telah melakukan suatu langkah kerja darab, misalnya 58 × 76 = 4408, setelah melakukan kiraannya bagi nombor yang sama buat kali ke tiga atau ke empat, telah ingat tanpa hafal semua angka yang terlibat dalam proses darab tersebut. Bagaimanapun keadaan ini hanya tercapai setelah seseorang itu menggunakan Kaedah Mokhdar sebagai bahasa mindanya.

Ada pula pihak yang menyangka bahawa Kaedah Mokhdar adalah kaedah mengingat nombor panjang, sama seperti kaedah yang dicipta oleh cendekiawan-cendekiawan barat seperti yang terkandung dalam buku-buku tulisan Tony Buzan, Harry Lorrainge, Montgomery dan sebagainya. Di antaranya buku-buku tersebut menyarankan cara di mana huruf-huruf digunakan bagi menggantikan angka, kemudian disusun semula dan dijadikan cerita serta dibuat mnemonic bagi membantu ingatan. Mungkin inilah antara yang menyebabkan seorang penulis surat layang di akhbar New Straits Times keluaran satu tarikh pada Mac 1995, yang menamakan dirinya sebagai T. Iskandar, membuat tohmahan kononnya Kaedah Mokhdar diciplak daripada buku tertentu.

Pada bulan Ogos 1996, seorang pelajar Cina Malaysia yang berusia 19 tahun dan merupakan penuntut universiti di Filipina menyertai pertandingan mengingat angka peringkat dunia yang diadakan di London. Beliau telah mendapat tempat ke lima dalam pertandingan tersebut dan dilaporkan menggunakan suatu kaedah di mana nombor-nombor disebut pendek dan menamakan sebuah buku terbitan di Amerika Syarikat sebagai rujukannya. Tarikh terbitan awal buku tersebut jauh lebih lewat dari tarikh buku pertama Kaedah Mokhdar dan mendapat publisiti meluas menerusi media massa. Untuk makluman anda, buku pertama Kaedah Mokhdar telah dicetak pada awal tahun 1992. Buku tersebut menyusul selepas penerbitan ‘Revolusi Bahasa & Bahasa Revolusi’ yang sebelumnya pada tahun 1991 terbit di bawah tajuk ‘Bahasa dan Tamadun Bangsa’.

Mokhdar lahir dari kesedaran dan pengalaman bahawa sebutan angka yang panjang menjadi antara faktor utama pelajar-pejar Melayu ketinggalan dalam bidang Sains dan Matematik dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain yang bahasa lidah mereka adalah pendek sebutannya. Congakan minda (Mental Calculator) dan juga kemahiran mengingat nombor panjang sama sekali tidak menjadi agenda di awal penciptaan Kaedah Mokhdar. Bagaimanapun kemahiran tersebut diperolehi bila minda saya dan anak-anak telah sebati dengan sebutan Mokhdar yang sebutannya merupakan sebutan Bahasa Melayu dipendekkan sepadat mungkin.

Kaedah Mokhdar sebenarnya adalah suatu kaedah menajamkan minda dengan angka dan figur. Matlamatnya adalah untuk menghasilkan pemikiran yang tangkas dan berkesan memorinya dalam berurusan dengan segala subjek yang banyak mengandungi angka dan figur numerik khususnya Matematik dan Sains. Di dunia, Kaedah Mokhdar adalah satu-satunya kaedah di mana bahasa asal ditrengkaskan menjadi sependek mungkin. Minda pelajar yang biasa dengan bahasa asal tersebut iaitu Bahasa Melayu lebih mudah menerima sebutan pendek ini sebagai bahasa pemikiran mereka. Hal ini disebabkan kerana Kaedah Mokhdar paling dekat dengan suasana bahasa Melayu yang menjadi bahasa lidah mereka.

Oleh kerana sebutan Mokhdar merupakan sebutan angka yang paling padat, tidak ada sebutan dalam apa-apa bahasa yang boleh dipadatkan menjadi lebih padat daripadanya. Kepadatan tersebut juga menghasilkan sebegitu banyak mnemonic, tanpa perlu diada-adakan, bererti orang yang menggunakan Kaedah Mokhdar sebagai bahasa mindanya juga menghitung paling pantas, mencongak paling pantas, menghafal paling pantas, mengingat paling pantas, mendarab paling pantas, belajar paling pantas, membaca paling pantas, berfikir paling pantas, malah menulis paling pantas dan sebagainya di dunia.

Bila kaedah ini digunakan bersama dengan kaedah-kaedah mental arithmetic seperti SRC, Aloha dan sebagainya (yang kesemuanya didasarkan kepada penggunaan sempoa termasuk SRC), individu yang menggunakan Kaedah Mokhdar sebagai bahasa mindanya akan mendapati sesi pembelajaran, congakan, mengingat, merancang, menyusun, berfikir, menggerakkan jari jemari dan sebagainya dalam kelajuan lebih pantas daripada orang-orang lain yang setaraf apatah lagi yang lebih rendah IQ daripadanya.

Dalam perspektif ini Kaedah Mokhdar bolehlah dianggap sebagai suatu perisian (software) paling berkesan digunakan bagi otak manusia yang dalam bahasa komputernya, ia boleh digambarkan sebagai Central Processing Unit (CPU) di mana dalam hal kiraan pantas, perisian ini boleh digerakkan sekali (compatible) dengan perisian-perisian lain seperti SRC, Aloha dan sebagainya.

No comments: