TGNA BERJUANG TEGAK ISLAM MENERUSI DAKWAH
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
izwan@harakah.net.my
KUALA LUMPUR: Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam hayatnya telah bangkit sebagai seorang pejuang yang baharu untuk mengembalikan kekuasaan politik Islam, melaksanakan syariat Allah s.w.t dan mengembangkan dakwah melangkaui sempadan bangsa dan politik kepartian.
Menurut Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Mohd Fadli Ghani, bumi nusantara telah diislamkan oleh tokoh ulama terkenal, Sayyid Hussein Jamadil Kubro yang berasal daripada India dan keturunan Nabi s.a.w di mana kedatangannya bersama para ulama India lain ke Asia Tenggara adalah atas perintah Sultan Muhammad Filji selepas kejatuhan Kerajaan Islam Baghdad tahun 1258.
Katanya, dari Sayyid Hussein telah lahir keturunan Wali Songo dan Pengasas Dinasti Jembal yang mana Almarhum Tuan Guru Nik Aziz adalah keturunan ketujuh daripada Sultan Jembal terakhir.
“Jadi, apabila kita bercakap mengenai dakwah, bezanya dulu tok nenek Tok Guru Nik Aziz ini mengislamkan orang Melayu. Kemudian orang Melayu telah menerima Islam sebagai satu agama dan satu cara hidup.
“Sehingga akhirnya Kelantan ini terkenal kerana menjadi sebuah negeri yang telahpun melaksanakan seluruh sistem undang-undang syariah ini dalam hidupnya dan rakyatnya. Pada zaman Sultan Mansor disebut bahawa undang-undang syariah ini dilaksanakan seluruhnya termasuk undang-undang hudud.
“Kemudian tahun 1909 berlaku Perjanjian Bangkok, seluruh undang-undang syariah ini dilucutkan kecuali undang-undang keluarga saja, sampai hari ini undang-undang keluarga masih kekal,” ujarnya menyingkap perjuangan dakwah keturunan Almarhum.
Kata Fadli, di zaman tiada Nabi ini, batang tubuh Tuan Guru Nik Aziz itu sendiri menjadi contoh, teladan atau qudwah yang dizahirkan sebagai dakwah bil hal.
Jelasnya, cara hidup, pergaulan, pakaian, kesederhanaan dan amal ibadat Tuan Guru ternyata tidak tertanding oleh sesiapa di negara ini.
Ujarnya, semua orang menyaksikan bahawa Tuan Guru melaksanakan setiap perkara yang beliau perkatakan.
Almarhum juga terang Fadli, pernah menjadikan penulisan sebagai medium perjuangannya menjelaskan kesyumulan Islam termasuk menangkis polemik dari Sasterwan Negara, S. Othman Kelantan sekitar tahun 1964 mengenai perkara itu.
“S. Othman Kelantan ini kata Islam ini hanya sekadar sembahyang dan puasa saja. Pembangunan, ekonomi dan politik tidak ada kena mengena dengan agama. Berbalah antara mereka melalui artikel-artikel pada masa itu untuk menjawab.
“Kerana Tuan Guru nak memperjelaskan pada dunia yang baru sahaja melepaskan diri daripada penjajahan, masih terkongkong dengan pemikiran sekular yang sudah ditanam kuat oleh penjajah,” ujarnya menerang kesungguhan Almarhum.
Jelas Fadli, hinggakan lontaran dan model dari idea Almarhum menerusi wadah politik telah banyak diambil dan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan
Begitu juga katanya, ketegasan Almarhum tidak membenarkan pengeluaran lesen premis kepada bank riba telah memaksa institusi kewangan memperkenalkan skim perbankan tanpa riba.
Akhirnya ujar beliau, bukan sahaja lahir Bank Islam malah bank-bank konvensional turut memperkenalkan perbankkan Islamnya.
Malah Tuan Guru katanya, telah menjentik dan menanam ke minda masyarakat apabila menjelaskan bahawa kerajaan memperolehi pahala daripada pelaksanaan-pelaksanaan yang dibuat itu ketika umumnya berfikir mengenai perolehan kebendaan.
Lebih menarik cerita Fadli, Tuan Guru telah berdakwah sejak zaman belajarnya di India tahun 1952 hingga 1956 dengan menulis di Majalah Hiburan yang dipimpin Harun Amirul Rashid dan beliau memakai nama pena ‘Cikgu Ustaz’.
“Tahun 1967 Dato' Asri dipanggil pasal dicalonkan. Dia kata tak apalah, dulu duduk di sekolah dia mengajar jadi cikgu di Madrasah Tarbiyah Panchor. Maahad Muhammadi pun mengajar, di masjid pun mengajar. Bila orang ajak bertanding pilihan raya, jadi ahli parlimen, dia kata saya ada peluang mengajar di parlimen.
“Kalau kita periksa balik hansard parlimen daripada tahun 1967 sampai tahun 1986, Tuan Guru jadi ahli parlimen, dia selalu sebut mengenai beberapa konsep penting dalam pemikiran Islam berkait dengan kerajaan dan dasar-dasar negara.
“Memberitahu kepada pemerintah bagaimana sepatutnya kerajaan ini mentadbir mengikut cara Islam. Jadi, ruang dakwah itu beliau luaskan bukan sekadar berdakwah ini berceramah di masjid dan surau. Kalau boleh pentas-pentas politik itulah tempat audien dakwah yang paling besar sekali,” terang Fadli yang juga mantan Pengarah Arkib PAS
No comments:
Post a Comment