Thursday, 18 February 2016

Wajib Ikhlas ,Muhasabah Kekuatan Diri

WAJIB IKHLAS, MUHASABAH KEKUATAN DIRI
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
MARANG: Ahli PAS perlu melengkapkan diri dengan keikhlasan iaitulah melaksanakan amalan hanya kerana Allah SWT semata, serta melakukan muhasabah sejauh mana telah mengisi diri rukun-rukun yang disebut dalam surah al-Asr.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Allah SWT akan membersihkan perjuangan Islam dengan menyingkirkan mereka yang tidak ikhlas dan hati kotor dari kelompok orang Mukmin sebagaimana dinyatakan pada ayat 179 surah Ali Imran.
“Orang yang masuk PAS kerana nak menjadi Menteri, nak jadi Menteri Besar daripada awal-awal lagi, nak jadi jawatan itu, Ketua Pengarah itu, awal-awal lagi disingkirkan oleh Allah. Allah menyingkirkannya. Adakah kamu yang ramai-ramai ini cita-cita nak jadi Menteri? Nak jadi itu? Nak jadi calon pun tidak, ramai sangat.
“Tetapi ada yang hatinya tidak betul dalam perjuangan Islam. Maka Allah singkirkan. Untuk ditinggalkan mereka yang ikhlas sahaja oleh Allah,” ujarnya merasmikan Sambutan Jubli Perak sempena 25 Tahun Penubuhan Jabatan Amal di Masjid Rusila, di sini 6 Februari lalu.
Beliau mengambil ibrah dari Perang Uhud di mana Allah mengeluarkan mereka yang tidak ikhlas, munafik dan lemah iman dari pasukan kaum Muslimin, sementara golongan ikhlas walaupun berdepan ujian berdarah dan syahid, mereka tetap istiqamah tidak berganjak dengan Islam.
Malah jelasnya, para Sahabat RA memeriksa diri mereka agar tidak termasuk golongan munafik sebagaimana pertanyaan Umar al-Khattab terhadap senarai yang dipegang Huzaifah al-Yamani.
Melanjutkan huraian, Tuan Guru menegaskan betapa Allah mewajibkan keikhlasan zahir dan batin meliputi segala sifat rohani dan amalan soleh, dalam segenap bidang yang luas sama ada pada hubungan dengan Allah, keluarga dan sesama manusia, serta makhluk dan alam sekitar.
Tegasnya, keikhlasan adalah kemuncak keimanan dan menjadi sifat penting kepada takwa, serta asas kekuatan ummah di mana ia pasti diuji oleh Allah SWT.
“Maka iman yang melahirkan ikhlas itu diuji oleh Allah SWT. Perlu bina kekuatannya sebelum diuji, dibina dengan tarbiyyah, bukan sahaja berilmu, mendidik diri ikhlas kerana Allah SWT. Mendidik diri melalui pengajian, pembacaan, pergaulan, termasuklah menghadapi kepayahan dan kesukaran,” terangnya.
Memetik ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut, beliau mengemukakan mengenai tapisan Allah dalam menilai antara kebenaran dan kebohongan iman dengan menghadapkan ujian ketahanan hawa nafsu, anak derhaka dan isteri ingkar, harta benda, kerajaan dan teman-teman.
Kerana itulah katanya, PAS mengalami pecahan hingga wujudnya Parti Imam, Parti Islah, Parti Berjasa, Parti Hamim, Parti PAN disepanjang sejarahnya, namun PAS tetap meneruskan perjalanan perjuangannya dengan penuh keikhlasan kepada Allah selaras perintah sebagaimana pada ayat 5 surah al-Bayyinah.
Menyingkap surah al-Asr, Tuan Guru menyeru ahli PAS melakukan muhasabah dengan mengikut perhitungan masa serta tidak mudah ‘syok’ sendiri.
“Mengapa generasi awal yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dalam masa 23 tahun telah berjaya menundukkan jahiliyyah di Semenanjung Tanah Arab? Selepas beberapa tahun, tak sampai 30 tahun, tumbang pula kuasa besar dunia Parsi dan Rom.
“Adapun kumpulan Islam di zaman mutakhir, selepas jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah tahun 1924, sudah berlalu 92 tahun, mengapa kita tidak dapat mengembalikan keperkasaan Islam untuk memimpin dunia? Generasi awal hanya 23 tahun, kita sudah 92 tahun.
“Bukan sahaja PAS, termasuk Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami, Masyumi di Indonesia dan berbagai-bagai kumpulan Islam. Sehinggalah belum lagi mencapai ke tahap sebuah negara yang memimpin dunia, sebagaimana yang telah dicapai oleh generasi awal umat Islam,” ujarnya.
Beliau menyeru agar muhasabah itu dilakukan dilakukan dengan mengisi diri kepada rukun-rukun yang disebut dalam suratul Asr iaitu beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
Tuan Guru turut memetik ayat 200 surah Ali Imran yang mengingatkan orang beriman untuk bersabar menghadapi cabaran dalaman dan musuh luaran serta istiqamah dengan ribat menyampaikan dakwah dan berjihad di seluruh pelusuk bumi, serta bertakwa hingga mencapai kemenangan.
Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu turut mengulangi hadis Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa sebaik-baik bersahabat itu empat orang dan sebaik-baik pasukan 400 orang, manakala sebaik-baik tentera adalah 4,000 orang serta tidak boleh dikalahkan jika jumlahnya 12,000 orang.
“Sekarang Unit Amal, 8,000 anggota, belum sampai 12,000, (tapi) sudah ke tahap lebih daripada 4,000 sebaik-baik bala tentera. Ahli PAS mencecah satu juta lebih. Mengapa belum lagi mencapai kemenangan? Begitulah kumpulan-kumpulan Islam yang lain. Belum mencapai kemenangan, jangan cakap besar. Perlu buat muhasabah diri.
“Generasi awal yang dipimpin oleh Nabi SAW telahpun berjaya membina iman dan amal yang soleh. Iman dengan makna kepercayaan kepada Allah, janji Allah, bukan sahaja ajaran Allah, termasuklah yang berkait dengan Allah, Rasul-Nya, kitab-Nya, janji-Nya hingga hari akhirat, diletakkan di dalam hati dengan ikhlas, kemuncaknya bertakwa kepada Allah SWT,” ujarnya menyuntik motivasi

No comments: